• Pondok Pesantren
  • Tahfidz Darul Hikam
  • Office Phone 0321382951
  • Email info@darulhikam.org
  • Address Mojokerto, Jawa Timur

Usaha Batin Agar Lebih Cepat Dalam Mendapatkan Hafalan Dan Mengekalkannya


Orang yang hafal al-Qur'an yang juga sering dipanggil sebagai al-hafiz pada dasarnya merupakan orang yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk dianugerahkan sesuatu kepadanya yang sangat berharga, dan sekaligus sebagai amanah yang tidak ringan dalam menerapkan serta menjaga kebolehan dan martabatnya. Dengan demikian untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. hendaknya orang yang bercita-cita memenangi anugerah tersebut berusaha sekuat kemampuan dengan berbagai cara dan bersedia mencari jalan apa sahaja yang dibenarkan di sisi agama.

Cara-cara dan teknik secara zahir telahpun banyak disentuh dalam penjelasan di atas. Selain daripada usaha dan upaya tersebut terdapat sesuatu yang penting bagi memperolehi rahmat dan anugerah di atas. Kepentingan yang dimaksudkan adalah riadhah batin dengan ertikata rajin berhubung dengan Allah s.w.t secara langsung dan memohon kepadaNya agar permohonannya itu dikabulkan. Jenis riadhah yang terbaik adalah berpuasa di hari Isnin dan Khamis sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w Sekiranya tidak keberatan hendaknya calon Hafiz juga senantiasa mengekalkan puasa ayyamu al baidh yakni puasa 3 hari pada setiap bulan (bulan Hijriah) yang bertepatan dengan tarikh 13, 14 dan 15 untuk setiap bulan.

Seorang Hafiz juga digalakkan agar senantiasa melaksanakan qiyamullail dengan istiqamah walaupun dua rekaat dan seterusnya melakukan tahfiz ataupun takrir. Lebih-lebih lagi pada malam Jumaat hendaknya ia melakukan sembahyang 4 rekaat. Rekaat pertama membaca surah al-Fatihah dan disambung dengan surah Yaa-siin sampai habis. Rekaat yang kedua setelah membaca surah al-Fatihah menyambungnya dengan surah al-Dukhan. Adapun rekaat yang ketiga membaca surah al-Sajadah setelah membaca surah al-Fatihah. Pada rekaat terakhir pula setelah al-Fatihah membaca surah al-Mulk. Begitulah mahfum satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi.

Itulah beberapa contoh usaha bathin yang sepatutnya dilakukan oleh golongan Huffaz dengan istiqamah. Sebenarnya banyak sekali bentuk dan jenis riadhah bathin yang dapat dilakukan oleh Hafiz-Hafizah. Sungguhpun demikian digalakkan agar seseorang mengambil usaha itu berdasarkan tunjuk ajar Nabi Muhammad s.a.w sepertimana penjelasan di atas.

 

Abu Mazaya al-Hafiz